Thursday, September 27, 2012

Hey Lidah!


السلام عليكم و رحمة الله

“ Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).”
- Surah Qaaf : 18

Lidah adalah pancaindera istimewa, kurniaan dari Tuhan Yang Maha Berkuasa. Lidah, organ yang digunakan untuk merasa manis dan masam sebuah epal. Lidah punya satu sifat terkenal iaitu fleksibel, ia boleh ke kiri dan kanan, digulung dan dijelirkan. Namun ia juga mampu berada dalam posisi yang selesa dan tidak aktif bergerak.

Saudara, lidah ini ada ketikanya kita gerakkan dan sesekali lebih baik dihentikan aktivitinya. Tidak semua kalimah boleh dituturkan dengan lidah, walaupun lidah kita mampu untuk ucapkannya.

Mereka yang mukmin, ada kalimat-kalimat yang selalu bermain pada lidah mereka. “Hasbunallahu wa ni’mal wakiil” dilafazkan, tatkala mereka bimbang mahupun takut dengan pelbagai berita dunia.

Setiap musibah dan ujian yang menimpa mereka, ungkapan “ Inna lillahi wa inna ilaihi roji’uun” akan kedengaran.

Pada saat tubuh letih dan terasa sukar melakukan amalan dan tugasan, mereka mengatakan “ La Haula wa la quwwata illa billahi”.

Kalimat-kalimat yang bersyariat inilah seharusnya dimainkan dan didendangkan dengan nikmat lidah ini. Hari ini kita senang untuk mengungkapkan, maka ungkapkanlah selembut dan sebaiknya.

Hari esok kita tidak pasti, adakah ‘senang’ kita ini akan berpanjangan? Mampukah kalimat thayyibah (baik) ini dituturkan disaat aku sibuk dan tertekan?

 “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar (dalam segala perkara).”
- Surah Al-Ahzab : 70

Kita umpamakan saja hati kita bagaikan periuk, maka kita akan ketahui bahawa lidah adalah penceduknya. Hati kita berperanan untuk beriman dan bertaqwa supaya natijah (hasil) ucapan lidah nanti adalah thayyibah.
‘Skema’kan lidah kita dengan sifir-sifir ibadah. Pelbagai zikir dan ungkapan yang dibukukan oleh para Masyaikh Al-Azhar mahupun Azhari Kelantan kita. Zikirkan dengan hati dan terbitkan dengan lidah, moga ia kekal walaupun disaat sibuknya ‘sakaratul maut’ menggigit kita.

“Ketahuilah, hanya  dengan mengingati Allah jua hati akan menjadi tenang” 
– Surah Ar-Ra’d :28\

Selamatkan mantik (ucapan) dengan benarnya pendapat, baikkan lafaz dengan sempurnakan akal dan jernihkan tutur kata dengan cahaya mata hati.

Lidah yang menjadi simbolik kepada hati, biarlah ia tenang, damai dan suci apabila dipanggil mengadap Allahu s.w.t. nanti.

“Belajar dan Beramal”
“Memartabat Keilmuan, Memimpin Kesatuan”

No comments:

Post a Comment